Wednesday, January 5, 2011

2.2.2(ii) Ciri Rebakan Bandar

2.2.2(ii) Ciri Rebakan Bandar

Rebakan bandar dapat dikesan sama ada secara langsung atau tidak langsung melalui perubahan guna tanah. Burchell et al. (1998) menjelaskan bahawa ciri rebakan bandar ada dua iaitu pembinaan perumahan kepadatan rendah yang menyerak ke pinggir; dan pembangunan bukan perumahan termasuk perniagaan dan industri yang menyerak ke pinggir. Corak pembangunan guna tanah yang menyerak ke pinggir adalah ciri asas proses rebakan bandar.

Selanjutnya Burchell et al. (1998) menjelaskan bahawa terdapat tiga ciri rebakan bandar yang ketara: pertama rebakan bandar dengan pola kepadatan hunian rendah, pembangunan baru ke arah luar tidak terbatas dan terjadi pemisahan fungsi ruang melalui aturan sistem zon. Ciri rebakan kedua adalah bentuk pembangunan bandar yang lompat-katak (leap frog) ditandai dengan adanya perancangan pembangunan yang bersifat disentralisasi dan pemilikan kenderaan persendirian yang dominan. Disamping itu kerana polisi dan kemampuan kewangan kerajaan tempatan yang berbeza menyebabkan pembangunan bandar terjadi secara lompat katak (tidak terjadi secara kompak). Ciri ketiga rebakan adalah pembangunan berjalur (ribbon) yang ditandai adanya aktiviti perniagaan sepanjang jalan utama.

Menurut Franz et al. (t.th.), ciri rebakan meliputi elemen seperti faktor, corak dan impak yang membimbangkan. Kesemua elemen tersebut sukar dibezakan. Galster et al. (2001) dan Knaap et al. (2005) pula membahagikan ciri rebakan kepada lapan ukuran iaitu (1) kepadatan diukur daripada unit rumah mahu pun guna tenaga terhadap tanah terbangun, (2) keberterusan: nisbah kawasan terbangun terhadap jumlah kawasan metropolitan, (3) konsentrasi: dinyatakan dalam tiga cara iaitu peratus kepadatan tinggi terhadap semua grid pada tanah terbangun, koefisien variasi kepadatan grid dan delta indeks ketaksamaan iaitu luas taburan unit rumah atau pekerja terhadap taburan yang seragam, (4) kelompok (cluster): dihitung berdasarkan kepadatan tiap blok grid dan sebahagian blok di dalamnya, (5) pemusatan (centrality): dihitung dengan dua cara iaitu jarak rata-rata unit rumah atau pekerja daripada pusat bandar. Indeks pemusatan merupakan peratus kumulatif jumlah unit rumah atau pekerja dalam bentuk lingkaran daripada pusat bandar, (6) inti: diukur dalam dua cara iaitu jumlah node dan jumlah unit rumah di kawasan inti kepadatan tinggi dinyatakan dalam bentuk peratus mahu pun jumlah seluruh inti bandar. Ilustrasi batas kawasan bandar adalah ciri pola pembangunan berinti satu (mobukanuclear), (7) penggunaan campuran: rata-rata kepadatan satu jenis una tanah dalam kawasan sebahagian guna tanah, (8) kedekatan (proximity): diukur daripada rata-rata jarak yang sama di antara guna tanah berbeza. Dilihat dari ciri bentuk, rebakan bandar dapat dibahagi kepada tiga iaitu rebakan berkepadatan rendah dan berterusan, penyerakan secara riben dan penyerakan jenis melompat (Ahris Yaakup et al. 2008).

Kajian tentang ciri rebakan bandar banyak dilakukan di luar negara. Antara yang terkini adalah kajian oleh Terzi dan Kaya (2008) yang melakukan penyelidikan dengan tema Analisis Pola Rebakan Bandar Fractal Geometri: Kes Wilayah Metropolitan Istanbul. Kata “fractal” berasal dari kata “frangere” yang bererti “pecah”, tujuannya untuk mencipta/menyatukan serpihan tak sebentuk. Kajian ini melihat dan mengukur rebakan di masing-masing tahap daerah dan mengintegrasikannya dengan indeks rebakan, kepadatan dan faktor kedekatan. Data yang digunakan adalah imej selama enam tempoh waktu iaitu antara tahun 1975 dan tahun 2005. Kemudian bentuk bandar Istanbul diukur menggunakan analisis fractal bagi tempoh terjadi rebakan bandar yang dinamis. Terzi dan Kaya (2008) menyimpulkan bahawa ukuran fractal bentuk bandar Istambul adalah berkorelasi positif dengan indeks rebakan bandar ketika bentuk perkembangan bandar cenderung untuk bertumpu ke satu tempat (sentralistik). Namun begitu, hubungan antara nilai fractal dengan nilai index rebakan bandar didapati negatif apabila bentuk bandar berubah dari bertumpu ke satu tempat kepada semi-linier. Menurut mereka lagi indeks rebakan bandar merupakan fungsi nisbah terpiawai nilai kepadatan dan kedekatan penduduk suatu kawasan dengan jumlah nilai terpiawai jarak geografi sebuah kawasan ke pusat perniagaan tengah bandar (CBD) yang primer dan sekunder. Nilai fractal geometri dapat dihitung dengan melihat hubungan antara angka alam dan jumlah grid. Atau dapat juga dihitung menggunakan perisian “HarFa” iaitu perisian yang dikembangkan oleh Martin Nezadal and Oldrich Zmeskal, Brno University of Technology, Institute of Physical and Applied Chemistry.

Ciri rebakan bandar dapat dikenali dengan menggunakan sistem maklumat geografi (GIS). Di Malaysia, kajian tentang aplikasi GIS bagi mengesan perkembangan bandar turut dilakukan misalnya oleh Ahris et al. (2003). Mereka mengkaji GIS sebagai alat untuk mengawas pembangunan bandar di wilayah metropolitan Lembah Klang, Semenanjung Malaysia. Kajian bertujuan untuk mengenal pasti kemunculan pola guna tanah bandar dan kaitannya dengan pekerjaan, petempatan dan penduduk. Perolehan data melalui analisis GIS dapat membantu mengenalpasti isu-isu seperti kesesakan lalu lintas, kualiti perancangan dan proses pembuatan keputusan. Kajiannya lebih fokus pada penyediaan data dasar yang berkualiti untuk perancangan.

1 comment:

Unknown said...

Assalamualaikum, boleh saya dapatkan senarai references ataupun sebarang rujukan yg lain mengenai rebakan bandar? sy sedang menjalankan kajian mengenai rebakan bandar di Alor Setar, harap tuan boleh bantu sy.