Wednesday, January 5, 2011

2.2.2 Faktor, Ciri dan Impak Rebakan Bandar

Literatur mengenai rebakan bandar membingungkan dari segi faktor penyebab, ciri-ciri dan impak rebakan bandar (Galsters 2001). Ini kerana, menurut beliau lagi, ketiga-tiga elemen faktor, ciri dan impak tidak dapat dijelaskan secara bersama-sama sebagai satu konsep. Padahal menurut Small (2000), sukar untuk memperoleh penyelesaian rebakan bandar tanpa mengetahui penyebab rebakan. Demikian juga perlu mengetahui faktor-faktor rebakan sebelum mengetahui impak yang ditimbulkan oleh rebakan. Berkait dengan itu, perbincangan berikut menjelaskan ketiga hal tersebut.

2.2.2(i) Faktor Penyebab Berlakunya Rebakan Bandar

Menurut Siendentop (dalam Franz et al. t.th.) penyebab rebakan bandar ada dua: pertama kerana permintaan terhadap tanah bandar. Kekuatan pendorongnya adalah penggunaan tanah untuk isi rumah, syarikat dan kegunaan awam. Faktor seperti pendapatan, kekayaan dan penggunaan kereta untuk penyediaan kerangka dan pilihan lokasi ditentukan berdasarkan pertimbangan pasaran iaitu dari segi kesan utiliti dan kos; kedua, kerana sistem perancangan ruang kawasan. Bantuan lazimnya diberi kepada kawasan yang penduduknya berkepadatan rendah, khususnya di kawasan sub bandar. Bantuan kewangan awam diberikan bagi pembinaan infrastruktur. Hal ini telah menggalakkan terjadinya rebakan bandar. Berdasarkan pandangan ini perancangan bandar adalah faktor penyebab utama rebakan.

Secara konseptual, Franz et al (t.th.) berpendapat bahawa pandangan permintaan terhadap tanah bandar berkait dengan “monocentric model” atau model pusat tunggal. Dalam model ini, central business district atau kawasan pusat perniagaan (KPP) adalah pusat bandar dan letakan tempat pelbagai interaksi yang bersesuaian seperti pusat pemerintahan dan perniagaan. Sedangkan isi rumah dan sebahagian juga peniaga lain memilih letakan optimum di bahagian tepi luar batas zon teras. Hal ini kerana kos pengangkutan yang masih rendah menuju ke KPP serta pelbagai bentuk kemudahan awam di zon pinggir lebih kurang sama dengan yang terdapat di KPP. Hal ini merupakan awal terjadinya rebakan kerana munculnya petempatan dan perniagaan di pinggiran luar zon teras (suburbia).

Selanjutnya Franz et al., (t.th.) pula berpendapat bahawa rebakan dapat meningkat kerana tiga faktor iaitu kos pengangkutan murah, pendapatan penduduk meningkat dan peningkatan jumlah penduduk. Dua faktor pertama memberikan kesan yang sama terhadap rebakan bandar. Kos pengangkutan murah menyebabkan penduduk lebih memilih tinggal di kawasan pinggiran sehingga terjadi peningkatan keperluan terhadap tanah di pinggiran. Tingginya keperluan isi rumah terhadap tanah di luar zon teras akan menyebabkan para komuter (pengulang-alik) terpaksa menempuh jarak lebih jauh sehingga jumlah dan kepadatan penduduk di KPP menurun atau perkembangan penduduk kecil. Sebaliknya terjadi peningkatan jumlah penduduk di luar KPP. Peningkatan pertambahan penduduk di luar bandar lebih besar berbanding dengan zon KPP merupakan kesan terjadinya rebakan bandar dan memunculkan bandar dengan banyak sub-pusat baru atau polycentric.

Sementara model pusat tunggal berandaian satu pusat, dalam versi polycentric model atau model pusat banyak, faktor pendorong rebakan adalah terciptanya sub pusat baru dan sub pusat baru ini terus berkembang sehingga ke tepi luar bandar. Beberapa proses pemisahan sosial kerap terjadi berkait dengan rebakan. Jurang kaya dan miskin kerap dijumpai di kawasan rebakan memunculkan perbezaan pula dalam hal perilaku pengangkutan. Dalam model pusat tunggal mahupun banyak, isi rumah dengan pendapatan tinggi (kaya) akan memilih letakan rumah pada jarak yang jauh dari KPP berbanding isi rumah berpendapatan rendah (miskin). Ini kerana mereka mampu membelanjakan lebih banyak wang untuk pengangkutan ke KPP. Kesan ini juga didorong oleh lebih rendahnya harga tanah di pinggiran bandar.

Sarjana lain, Frenkel et al. (2008) pula mendapati bahawa faktor pendorong yang menyebabkan terjadinya rebakan bandar adalah peningkatan taraf hidup, isi rumah bandar yang telah mengalami peningkatan taraf hidup cenderung untuk memilih daerah yang berkepadatan penduduk rendah bagi tujuan memiliki hartanah rumah kediaman yang lebih selesa untuk keluarga. Faktor lain pula termasuklah perubahan iklim kerana perubahan topografi bandar, perubahan polisi awam yang menggalakkan desentralisasi aktiviti ekonomi di KPP, perubahan akses jalan raya, dan interaksi dalaman bandar yang kompleks sehingga memerlukan pembangunan semula bandar. Semua ini menjadi pendorong pergerakan penduduk ke pinggir bandar.

Pergerakan penduduk mengikut rumah kediaman dijelaskan dalam Rajah 2.1. Keputusan ini rumah untuk berpindah merupakan salah satu punca rebakan bandar. Tidak semua orang berpindah tempat tinggal, perkara ini berlaku kerana ada dua kekuatan yang mempengaruhi keputusan pindah iaitu kekuatan dalaman: mengenai keperluan dan harapan isi rumah serta kekuatan luaran berupa ciri persekitaran kejiranan, rumah dan lokasi relatif mengikut ruang bandar (misalkan strategis atau tidak).























Rajah 2.1 Model proses keputusan pemilihan lokasi petempatan
Sumber: Brown dan Moore 1971 dalam Northam (1979)

No comments: