Sunday, March 1, 2009

Pelan Wilayah Lembah Klang II

Wilayah Pelan Strategik Lembah Kelang II meliputi dua daerah iaitu Sepang dan Kuala Langat dengan luas 141,527.39 hektar. Daerah Sepang merupakan kawasan lembah Sungai Langat di sebelah Hulu sedangkan Daerah Kuala Langat di sebelah hilir. Daerah-daerah ini diurus-tadbir oleh dua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) iaitu Daerah Sepang ialah Majlis Daerah Sepang (MDS) seluas 85,811.27 hektar, Daerah Kuala Langat ialah Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) seluas 55,716.12 hektar.

Wilayah ini dibincangkan kerana merupakan wilayah limpahan pembangunan daripada Wilayah Lembah Klang I yang terdiri daripada empat daerah di Selangor iaitu Petaling, Klang, Gombak, Hulu Langat dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Pelan Strategik Wilayah Lembah Klang II dirancang dengan mengambil kira Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS), konsep pembangunan mampan, potensi di kawasan Koridor Raya Multimedia dan limpahan pembangunan dari Putrajaya.

Wilayah Lembah Klang merupakan daerah yang paling pesat perkembangannya di semenanjung Malaysia dengan aktiviti ekonomi perdagangan dan perindustrian yang berkembang dengan pesat, penumpuan projek-projek pembangunan mega dan tahap mudah sampainya yang tinggi dengan rangkaian lebuh raya, kereta api, pelabuhan dan lapangan terbang antara bangsa. Kemajuan di Wilayah Lembah Klang ini menyebabkan secara tidak langsung limpahan pembangunan di sekitar kawasan ini, khususnya Wilayah Selangor Selatan. Justeru itu, satu pelan perancangan dan pembangunan yang lebih menyeluruh dan bersepadu khususnya di bahagian selatan Negeri Selangor pula dibuat untuk menjaga kepentingan dan meningkatkan pencapaian negeri khasnya ke arah merealisasikan wawasan Negeri Selangor Maju.

Materi pelan yang akan dijelaskan meliputi huraian pendahuluan, limpahan pembangunan, kepentingan dan hubungan wilayah; penduduk dan sumber manusia; asas dan prospek ekonomi; sektor guna tanah dan fizikal; sektor petempatan bandar dan desa serta koridor pembangunan; sektor perumahan; sektor perindustrian; pertanian, perhutanan dan perlombongan; sektor pelancongan; kemudahan masyarakat; sektor perniagaan; rekreasi dan sukan; alam sekitar dan pengurusan sumber asli; perhubungan dan pengangkutan; sektor infrastruktur dan utiliti; strategi pembangunan sektoral; strategi pembangunan spatial negeri.

Kaedah penyediaan Pelan Pembangunan, terbahagi kepada tiga iaitu menyediakan Pelan Strategik Pembangunan Wilayah Lembah Klang II, menyediakan Pelan Tindakan Pelaksanaan Pelan Strategik dan menyediakan Perancangan Projek bagi melaksanakan Pelan Tindakan yang disediakan. Penyediaan Pelan Strategik dibuat oleh satu Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan ahlinya terdiri daripada Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD), Majlis Perbandaran Sepang (MP Sepang), Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL). Pelan ini disediakan berpandukan Draf Rancangan Struktur Negeri. Penyediaan Pelan Tindakan pula dibuat oleh MP Sepang dan MDKL dengan bantuan JPBD. Pelan Tindakan ini disediakan berdasarkan Draf Rancangan Tempatan yang telah disediakan. Manakala bagi kawasan tertentu seperti Sungai Sedu, Pula Carey dan Tebatan Banjir Sungai Langat, pelan induk projek berkenaan dijadikan rujukan. Pelan perancangan projek dan pelaksanaannya pula dibuat kembali dengan melibatkan UPEN sebagai Pengerusi Jawatankuasa Teknikal, ahlinya JPBD, MP Sepang dan MPKL.

Objektif Kajian terdiri atas enam iaitu: menyediakan strategi pembangunan semua sektor yang dijangka boleh mendorong pembangunan kawasan kajian, mengubahsuai koridor pembangunan di kawasan kajian, menyediakan pelan cadangan guna tanah untuk tempoh sepuluh tahun akan datang, mengenalpasti Rancangan Tepatan yang telah dilaksanakan dan ‘committed development’ , mengenalpasti sumber-sumber, kekuatan, kelemahan, kekurangan, peluang dan cabaran pembangunan kawasan kajian bagi menggariskan matlamat dan sasaran pembangunan strategik negeri, menggalakkan penggunaan ruang fizikal yang optimum di peringkat negeri berdasarkan matlamat yang telah ditetapkan ke arah melahirkan pembangunan mampan dan mengelak percanggahan dalam penggunaan sumber.

Negeri Selangor memiliki dasar dan strategi pembangunan yang didasarkan atas wawasan pembangunan negeri yang maju secara syumul jasmani dan rohani, dasar pembangunan mampan Kawasan Sensitif Alam Sekitar bagi mencapai pembangunan yang berdaya kekal dan pembangunan spatial berasaskan ‘multiple strands development corridor’ yang berlaku seiring dengan pengekalan kehijauan di dalam bentuk ‘bio-diversity’. Walau bagaimanapun, strategi pembangunan Wilayah Lembah Klang adalah berdasarkan strategi pembangunan ‘multi focus’ yang intensif dan menyeluruh secara berterusan.

No comments: