Sunday, March 1, 2009

Pelan Wilayah Lembah Klang II (3)


Isu perancangan iaitu ekonomi dunia yang telah berubah dengan kemerosotan tiga negara ekonomi utama (Amerika Syarikat, Jepun, Kesatuan Eropah), telah merosotkan eksport dan telah memberi tempias kepada ekonomi kawasan Lembah Klang. Ketidak seimbangan pembangunan ekonomi nampak kerana Daerah Kuala Langat dan Sepang hanya memainkan peranan kecil dalam aktiviti ekonomi yang bernilai tambah tinggi. Ketidakseimbangan juga nampak di antara bandar dan kampung kerana asas ekonomi, aktiviti bernilai tinggi dan pendapatan isi rumah lebih tinggi di kawasan bandar. Aktiviti pertanian di Daerah Kuala Langat meliputi 26 peratus daripada keseluruhan aktiviti pertanian negeri. Aktiviti pembuatan dan perkhidmatan kurang menonjol dengan kebanyakan aktiviti direkodkan tinggi di daerah lain. Pendapatan bumi putera lebih rendah berbanding bukan bumiputera di kedua-dua kawasan bandar dan luar bandar. Insiden kemiskinan telah berjaya dikurangkan selari dengan pencapaian di peringkat negeri iaitu pengurangan sehingga dua peratus sahaja dan jumlah kemiskinan hanya 0.3 peratus.

Sektor guna tanah dan fizikal menunjukkan topografi berbukit dan tanah tinggi, tanah rendah dan pesisiran pantai. Ada beberapa fitur utama iaitu pesisir pantai, tasik dan geologi. Kawasan Lembah Klang berhadapan dengan selat Melaka telah membentuk pesisir pantai sepanjang 40 km bermula dari Sungai Langat di Utara sehingga ke Sungai Sepang di selatan. Kawasan ini dikenalpasti sebagai kawasan sensitif alam sekitar berisiko bencana. Tasik dijumpai di Sepang akibat aktiviti perlombongan bijih timah. Tasik ini juga berfungsi sebagai kawasan takungan air untuk pengawalan banjir dan telah dimajukan sebagai kawasan rekreasi air seperti Paya indah dan Wetland. Tanah bencah terdiri daripada hutan paya bakau dan gambut. Hutan ini dijumpai di kawasan tepi pantai dan muara sungai sebagai hutan simpan terletak di pesisiran pantai dan muara sungai di daerah Kuala Langat serta di kepulauan.

Kecerunan 91 peratus rendah iaitu kurang dari 12o yang sesuai untuk semua jenis pembangunan. Dianggarkan hanya 5 peratus dari kawasan kajian terletak dalam kecerunan 25 o yang tidak sesuai untuk pembangunan. Lembangan Sungai Langat merupakan kawasan tadahan yang menjadi sumber bekalan air mentah dan berfungsi sebagai mekanisme kawalan banjir, kawalan hakisan tanah, mengekalkan kesuburan tanah dan pemuliharaan biologi. Sungai juga penting untuk pengairan kawasan khususnya sungai Langat sebagai sistem pengairan permukaan. Tumpuan kawasan mudah banjir adalah Kuala Langat 16 peratus dan Sepang 13 peratus banjir.

Struktur geologi kawasan sebahagian memiliki geologi yang sensitif seperti batu kapur dan ‘shale’. Struktur ini adalah tidak kuat dan rapuh serta tidak mampu menampung beban pembangunan. Oleh itu kawasan ini tidak sesuai untuk pembangunan yang ekstensif.

Pembangunan fisikal yang pesat mempengaruhi corak dan taburan jenis tanah. Corak guna tanah tahun 2002 masih didominasi oleh guna tanah hutan 40.11 peratus dan pertanian 39.64 peratus. Kawasan tepu bina hanya meliputi kira-kira 18 peratus daripada keluasan negeri Selangor. Guna tanah tepu bina bertambah dengan ketara di Sepang sejak 1991 sehingga 2002. Guna tanah tepu bina utama adalah kediaman (perumahan terancang, kampung tradisi, kampung baru dan pusat petempatan tanah rancangan), perindustrian (di dalam kawasan perindustrian, kawasan di luar zon perindustrian terancang, komited oleh pihak berkuasa tempatan) dan perniagaan. Lain-lain guna tanah tepu bina terdiri daripada guna tanah institusi, kawasan lapang, rekreasi, pengangkutan, infrastruktur dan utiliti.

Guna tanah bukan tepu bina meliputi hutan (hutan simpanan kekal, hutan sekunder), pertanian (kelapa sawit dan getah). Baik hutan mahupun pertanian luas semakin berkurang digunakan untuk perbandaran. Lain-lain guna tanah bukan tepu bina terdiri daripada tanah kosong, sungai dan badan air lain sama ada sumber semula jadi (tasik, paya) atau buatan (kolam bekas lombong). Kawasan sensitif alam sekitar terdiri daripada KSAS perhutanan, KSAS perikanan, KSAS pertanian dan peternakan, KSAS pesisiran, KSAS sumber mineral dan bahan batuan, KSAS jasad air, KSAS sejarah dan antikuiti, KSAS rekreasi dan kawasan lapang, KSAS khazanah geologi dan KSAS tanah bencah (rawa).
Sumber:
UPEN, JPBD, MP Sepang, MDKL. 2002. Pelan Strategik Wilayah Lembah Klang II, Unit Perancang Ekonomi Negeri, Jabatan Perancang Bandar dan Desa, Majlis Perbandaran Sepang, Majlis Perbandaran Kuala Langat, Selangor.
Ditulis oleh
Mochamad Rosul
Geographic Student National University of Malaysia

No comments: