Monday, October 20, 2008

Description

Perhubungan antara Persekutuan
dengan Negeri dan Tempatan
(bagian 3)



Amatlah penting untuk membicarakan tentang perhubungan antara persekutuan (federal) dengan negeri termasuk antara tempatan (daerah) dengan negeri sehingga muncul harmonis hubungan. Perbezaan besar akan nampak antara negeri apabila hubungan antara negeri kurang baik. Negeri sebagai anggota persekutuan memiliki peruntukan bagi menentukan perhubungan antara pusat dengan kerajaan negeri. Peruntukan ini penting bagi mengelakkan beberapa pertelingkahan (dispute/perselisihan) yang mungkin berlaku antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat, dan untuk menyelesaikan pertelingkahan yang telah berlaku. Apalah jadinya jikalau pembangunan hanya memperhatikan negeri tertentu tanpa melihat perancangan negeri yang ada di sekitarnya.

Cara perhubungan itu terpulanglah kepada hakikat perlembagaan persekutuan itu. Menurut KC Wheare (1956)[1], persekutuan terbahagi kepada tiga jenis. Yang pertama ialah persekutuan yang kerajaan pusat nya lemah daripada kerajaan negeri, kerana kebanyakan kuasa yang mustahak diberikan kepada kerajaan negeri. Jenis yang kedua ialah persekutuan yang kerajaan pusat nya lebih kuat daripada kerajaan negeri, dan jenis yang ketiga pula ialah persekutuan yang kerajaan pusat nya sama kuat dan sama taraf dengan kerajaan negeri. Mengikut pendapatnya, persekutuan yang sebenar ialah jenis yang ketiga iaitu persekutuan yang kerajaan pusat mempunyai kuasa sama banyak dan sama mustahak dengan kerajaan negeri. Persekutuan seperti ini hanya didapati di sebuah negara sahaja iaitu Amerika Syarikat.

Jenis yang pertama dan kedua bukanlah negara federal yang sebenar. Ini adalah seakan-akan federal (quasi federalism). Tetapi dalam kenyataan sejarah menunjukkan bahawa sangat susah benar persekutuan untuk hidup apabila kerajaan pusat nya tidak memiliki kuasa yang cukup untuk mengatasi segala kerumitan politik dan sosial ekonomi. Bagi negara yang kerjaan pusat sama kuat dengan negeri seperti Amerika Syarikat, sejarah dunia menunjukkan bahawa terutama pada kedua-dua perang dunia lepas telah membuktikan bahawa secara beransur-ansur kerajaan pusat menjadi bertambah kuat dan mustahak. Jika tidak demikian maka ancaman dari dalam dan luar negeri tentulah tidak dapat diatasi.

Yang demikian amatlah mustahak bagi kerajaan pusat dalam sesebuah persekutuan mempunyai kuasa kuat dan lebih dibandingkan dengan kerajaan negeri. Dengan berasaskan inilah maka Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dan kemudiannya Perlembagaan Malaysia telah direka dan dirangka.

Hal Ehwal Kerjasama Kerajaan Persekutuan dengan Negeri
Dalam hubungan menjalankan perkhidmatan kepada rakyat, hubungan Kerajaan Persekutuan dengan Negeri mestilah ada peruntukan yang jelas. Harapannya agar tidak terjadi kerumitan dan soal yang kusut dalam hubungan keduanya akan dapat mengecewakan rakyat. Untuk mengelakkan peristiwa-peristiwa seperti ini maka dalam Perlembagaan Malaysia ada peruntukan-peruntukan iaitu Kerajaan Negeri bukan sahaja lebih rendah daripada Kerajaan Persekutuan tetapi juga kuasanya dalam hal-ehwal tanah, Kerajaan Tempatan dan kewangan hendaklah dijalankan mengikuti polisi yang dibuat oleh tiga buah majlis negara yang ditubuhkan oleh perlembagaan. Ketiga-tiga Majlis Negara ini ialah Majlis Tanah Negara, Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan, dan Majlis Kewangan Negara.





Majlis Tanah Negara diberi tugas untuk membentuk satu polisi negara yang meliputi seluruh persekutuan bagi menjana (produce/generate/menghasilkan) dan mengawal penggunaan tanah negara untuk galian, pertanian, perhutanan, dan lai-lain lagi serta untuk menjalankan undang-undang mengenai hal ini. Polisi negara ini dibuat dari semasa ke semasa secara berunding dengan kerajaan persekutuan, Kerajaan Negeri dan Majlis Kewangan Negara, dan polisi yang telah dibuat itu hendaklah dipatuhi oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.


Selain membuat polisi negara, Majlis Tanah Negara juga menjadi badan tempat Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri bertanya mengenai penggunaan tanah, undang-undang yang berkaitan dengan hal ini yang dicadangkan dibuat, atau mengenai pentadbiran undang-undang yang berkaitan dengan hal ini. Majlis Tanah Negara hendaklah memberi nasihat mengenai hal yang ditanyakan itu.


Majlis Tanah Negara terdiri daripada seorang menteri yang menjadi pengerusi Majlis itu, 10 orang wakil Kerajaan Persekutuan dan seorang wakil bagi tiap-tiap negeri. Wakil tiap negeri itu dilantik oleh Raja atau Gabenor Negeri masing-masing.


Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan mempunyai kewajipan untuk membentuk satu polisi negara bagi memajukan, mengelokkan dan mengawal Kerajaan Tempatan dalam seluruh persekutuan dan bagi mentadbirkan undang-undang mengenai hal tersebut. Polisi negara ini dibuat dari satu masa ke satu masa setelah berunding dengan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. Polisi yang dibuat oleh Majlis ini hendaklah dipatuhi oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.


Kerajaan Persekutuan dan Negeri juga boleh bertanya kepada Majlis ini mengenai hal-ehwal Kerajaan Tempatan dan Majlis ini hendaklah memberi nasihat mengenai hal yang ditanyakan. Tetapi jika Kerajaan Persekutuan atau Negeri bercadang hendak membuat undang-undang Kerajaan Tempatan, maka Kerajaan Persekutuan atau Negeri hendaklah berunding dengan Majlis ini terlebih dahulu. Majlis ini dikehendaki memberi nasihat mengenainya.


Susunan Majlis ini adalah sama seperti Majlis Tanah Negara iaitu terdiri daripada seorang menteri yang menjadi pengerusi dalam majlis, 10 orang wakil Kerajaan Persekutuan dan seorang wakil bagi tiap-tiap negeri. Wakil-wakil negeri diangkat oleh Raja atau Gabenor masing-masing.


Majlis Kewangan Negara terdiri daripada seorang Perdana Menteri, seorang menteri yang ditetapkan oleh Perdana Menteri dan seorang wakil dari tiap-tiap negeri. Wakil negeri dilantik oleh Raja atau Gabenor Negeri masing-masing. Kewajipan Majlis Kewangan Negara itu ialah mengenai perkara-perkara seperti berikut:


1. Pemberian wang Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri,
2. Penyerahan kesemua atau sebahagian daripada jumlah cukai atau bayaran persekutuan kepada Kerajaan Negeri,
3. Pinjaman wang yang dikehendaki oleh Kerajaan Persekutuan dan Negeri pada tiap-tiap tahun dan perjalanan kuasa meminjam wang oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri,
4. Memberi pinjaman wang kepada Negeri,
5. Membuat rancangan kemajuan,
6. Peraturan mengenai kira-kira dan kewangan serta pemeriksaan kira-kira Kerajaan Persekutuan, Negeri dan pihak-pihak berkuasa awam yang lain,
7. Mengubah kadar pemberian wang kepada negeri mengikut bilangan orang,
8. Membuat undang-undang untuk menegah atau menghadkan Kerajaan Negeri daripada mengenakan royalti atas bijih timah atau bijih dan galian yang lain daripada bijih timah yang dikeluarkan dari negeri itu.
9. Perkara-perkara lain yang ditentukan oleh perlembagaan atau undang-undang persekutuan supaya hendaklah diadakan dengan Majlis Kewangan Negara.


Kerajaan Persekutuan boleh berunding dengan Majlis ini, sama ada mengenai kewangan atau bukan. Kerajaan negeri juga boleh berunding dengan Majlis ini mengenai sesuatu perkara yang berkaitan dengan kedudukan wang negeri tersebut.

Ditulis oleh
Mochamad Rosul
Student Ph. D National University of Malaysia (UKM)


Rujukan buku:
Abas, Tun Mohd. Salleh, 1988. Kerajaan Negeri dan Tempatan, Dewan Bahasa dan Pustaka Kementerian Pendidikan Malaysia, Kuala Lumpur Malaysia. PTSL KQB .M7 n.2.
Anonim, 1968. Prinsip Perlembagaan dan Pemerintahan di Malaysia.
[1] KC Wheare. 1956. Federalism. Oxford University. Oxford University Press.

No comments: